PRK Sungai Bakap: Jalan sekitar Dewan Serbaguna Jawi ditutup bermula hari ini hingga Ahad

Bernama
Julai 5, 2024 08:50 MYT
Beberapa jalan di sekitar kawasan Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini akan ditutup bermula jam 5 petang ini hingga 3 petang Ahad ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.
NIBONG TEBAL: Beberapa jalan di sekitar kawasan Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini akan ditutup bermula jam 5 petang hari ini (Jumaat) hingga jam 3 petang Ahad ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Chong Boo Khim berkata, jalan yang terlibat ialah Jalan Serindit, Jalan Susur Ibu Pejabat Polis Daerah SPS dan Jalan Susur Jabatan Kerja Raya SPS.
"Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan, mengenal pasti laluan yang ditutup dan menggunakan jalan alternatif agar tidak terperangkap dalam kesesakan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau menasihati orang ramai yang ingin hadir di Dewan Serbaguna Jawi itu agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan seperti kawasan perumahan sehingga menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan jalan raya.
Chong meminta orang ramai mematuhi arahan semua penguat kuasa bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang proses mengundi.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #jalan ditutup #Dewan Serbaguna Jawi #DUN Sungai Bakap
;