PRK Sungai Bakap: Isyarat rakyat tolak dasar PH-BN - Muhyiddin
Afiezy Azaman
Julai 7, 2024 12:00 MYT
Julai 7, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kemenangan diraih calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menandakan keyakinan rakyat dalam perjuangan membela nasib mereka.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ia juga isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-BN yang menyusah dan merimaskan rakyat.
"Ini termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambah beban rakyat, kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham MAHB (Malaysia Airport Holdings Bhd kepada Global Infrastructure Partners (GIP) walaupun ditentang hebat oleh rakyat dan kegagalan kerajaan melaksanakan janji-janji reformasi institusi malah semakin mencengkam kebebasan rakyat.
"PRK Sungai Bakap menunjukkan pengundi bijak menilai dan mereka tidak termakan dengan sogokan dan pujukan PH-BN.
"Malah tindakan PH-BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan secara besar-besaran untuk meraih undi juga tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada parti itu," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Muhyiddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada calon PN di atas kemenangan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua jentera PN dan pengundi gabungan itu.
"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Perikatan Nasional menang besar dalam PRK Sungai Bakap.
"Saya mengucapkan setingg-tinggi terima kasih kepada pengundi-pengundi Sungai Bakap yang telah mengundi calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail," katanya.
Pada PRK itu, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari Ariffin.
PRK Dun Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.