PRK Sungai Bakap: Calon Kerajaan Perpaduan diumum malam ini

Bernama
Jun 12, 2024 10:45 MYT
Asyraf Wajdi berkata ketetapan itu dicapai pada Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia BN-PH. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah dimuktamadkan dan akan diumumkan 9 malam ini.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan itu dicapai pada Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia BN-PH melibatkan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya semalam.
"Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Rafizi Ramli dan Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Asyraf Wajdi, Pengerusi Operasi Bersama PRK DUN Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
-- BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #calon #Kerajaan Perpaduan #Asyraf Wajdi Dusuki
;