PRK Sungai Bakap: BN hormat kerusi PKR - Zambry
Bernama
Jun 7, 2024 18:15 MYT
Jun 7, 2024 18:15 MYT
SERDANG: Barisan Nasional (BN) menghormati kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang sebelum ini dikuasai PKR, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Justeru beliau berkata tidak timbul lagi soal siapa calon dari BN yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, sebaliknya parti itu akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada sesiapa sahaja yang dipilih mewakili Kerajaan Madani sebagai calon.
"Kita hormat tradisi itu, tetapi yang penting ialah semangat kebersamaan yang kita bincang bersama dan telah dipersetujui akan calon dan akan diumumkan secara rasmi oleh pimpinan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
-- BERNAMA