PRK Simpang Jeram: Masyarakat Cina mahukan pemimpin pecah tembok ketegangan kaum, agama

Shuhada Abdul Kadir
September 1, 2023 19:41 MYT
Pengundi ditemui mengakui cenderung untuk memilih pemimpin yang mampu memainkan peranan memecahkan tembok ketegangan itu. Dari kiri Lee Kim Geok, Wo Kam Shim dan Toh Chin Lin. - Foto Astro AWANI
MUAR: Pengundi kaum Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berharap semua pihak tidak mengadudombakan isu agama dan kaum sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) itu berlangsung, demi kepentingan peribadi.
Beberapa pengundi ketika ditemui Astro AWANI berkata, harapan mereka kini bukan hanya mahu kan bakal wakil rakyat yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik semata-mata, namun melihat kepada ketegangan sentimen kaum yang ‘dimomokkan’ pihak tertentu, mereka mengakui cenderung untuk memilih pemimpin yang mampu memainkan peranan memecahkan tembok ketegangan itu.
Mereka berkata, berdasarkan demografi kawasan DUN itu yang terletak kira-kira 150 kilometer (KM) dari ibu negeri Johor di Johor Bahru, sudah pasti penduduk setempat mahukan lebih banyak pembaharuan khususnya dalam aspek pembangunan dan sosio ekonomi.
Bagaimanapun bagi Lee Kim Geok, 66, dia berpandangan, faktor calon menjadi indikator penting ketika ini lebih-lebih lagi dalam memastikan keharmonian bangsa dan agama di negara ini.
“Saya bukan orang yang berpelajaran tinggi, tetapi saya memang takut kalau ada orang (pemimpin) yang rasis.
“Memang kita mahu pemimpin yang rajin buat kerja, bila ada masalah seperti banjir atau apa sahaja dia dapat datang dengan cepat, tetapi kita harap wakil rakyat itu juga tidak rasis,” katanya.
Sementara itu seorang ahli perniagaan, Wo Kam Shim, 53, turut menyuarakan pandangan sama selain berharap wakil rakyat baharu di kawasan itu dapat meneruskan segala agenda pembangunan yang dibawa oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
“Paling penting sekali kita mahu pemimpin yang boleh jaga pengundi, dapat selesaikan masalah seperti isu kerosakan jalan raya dan sebagainya,” katanya.
Bagi Toh Chin Lin, 64, sebagai anak tempatan yang tidak pernah sekali pun ‘terlepas’ dalam menunaikan tanggungjawab pada setiap pilihan raya.
Katanya, secara peribadi dia tidak hanya melihat sentimen parti, tetapi rakyat hari ini bijak menilai calon mana yang dilihat lebih cenderung dalam memberikan jiwa mereka sepenuhnya untuk memimpin sesebuah kawasan.
“Wakil rakyat mesti betul-betul buat kerja untuk penduduk kawasan DUN Simpang Jeram ini yang mana kalau mereka ada tugas luar atau bercuti sekali pun, mesti ada wakil yang ambil alih tugas mereka.
“Dari tahun 80-an lagi saya sudah mula mengundi dan saya tidak mahu lagi rakyat rasa susah untuk bertemu wakil rakyat sehingga kadang-kadang kami betul-betul perlukan bantuan, tetapi wakil rakyat tiada di kawasan,” katanya sambil menambah telah meminta tiga anaknya yang berada di Singapura untuk pulang mengundi.
PRK DUN Simpang Jeram kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman, calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya serta calon Bebas S.Jeganathan.
Untuk rekod Kerusi Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi yang terdiri daripada 21,005 Melayu (51.87 peratus), 18,052 (44.58 peratus), 1,027 India (2.53 peratus) dan lain-lain bangsa 404 orang (0.99 peratus).
#PRK #DUN Simpang Jeram #pengundi Cina #pilihan raya kecil
;