PRK Sg Kandis: PKR tidak gentar strategi BN
Bernama
Julai 22, 2018 04:52 MYT
Julai 22, 2018 04:52 MYT
PKR Selangor tidak gentar strategi calon BN yang dikatakan akan bekerjasama dengan PAS bagi menarik pengundi Melayu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pihaknya menerima perkara itu secara terbuka dan menganggap ia sebagai amalan demokrasi.
"Negara kita amalkan sistem demokrasi dan itu adalah satu daripada amalan demokrasi...sesiapa sahaja boleh bekerjasama dalam kempen pilihan raya ini.
"Namun, rakyat perlu bijak menilai dan memilih, sekiranya mahu terus dibantu kerajaan negeri apatah lagi Pakatan Harapan kini sudah menjadi kerajaan Persekutuan pilihlah calon kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran bilik gerakan jentera pilihan raya PKR di sini, pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pilihan Raya DUN Sungai Kandis, Dr A. Xavier Jayakumar dan calon pilihan raya dari PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Terdahulu, calon BN bagi PRK berkenaan, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan akan bertemu dengan pimpinan PAS sebagai usaha mengajak parti itu mendekati pengundi Melayu di DUN tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin Shari yang juga Pengarah PRK tersebut, turut mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang terutamanya yang membabitkan pembangunan di negeri berkenaan.
"Mereka (pembangkang) kata kita nak pilihan raya baru nak buatkan longkang dan baiki jalan...sedangkan projek pembangunan itu telah lama dirancang dan ada yang sedang dilaksanakan," katanya. -- Bernama
#Amirudin Shari
#Lokman Adam
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRK Sungai Kandis
#Selangor
#sungai kandis
#Zawawi Mughni