PRK Sg Bakap: PN sudah 'hilang punca' yakinkan pengundi - Rafizi

Bernama
Jun 29, 2024 23:11 MYT
Rafizi Ramli berkata ini adalah hasil dapatan yang diterima beliau dari lapangan, selepas seminggu kempen PRK itu berjalan. - Gambar fail/Bernama
NIBONG TEBAL: Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti sudah 'hilang punca' (modal) untuk menyakinkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, supaya menyokong mereka dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata ini adalah hasil dapatan yang diterima beliau dari lapangan, selepas seminggu kempen PRK itu berjalan.
"Berdasarkan perkembangan kempen dan penilaian kami, jelas PN tidak mempunyai mesej dan kempen yang bersepadu atau teratur untuk PRK kali ini. Kita tengok segala mesej yang disampaikan cacamarba, hanya mengikut kepada isu-isu nasional yang tidak begitu relevan kepada pengundi di Sungai Bakap," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan, Sungai Jawi di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perpaduan berkata di Sungai Bakap berkata terdapat beberapa isu tempatan yang boleh menjadi pertaruhan antara kedua-dua calon yang bertanding, termasuk masalah bekalan air dan kesesakan jalan raya.
"... tetapi sehingga sekarang, isu-isu setempat ini hampir langsung tidak disentuh oleh PN, sebabnya saya rasa PN sendiri tidak yakin dengan prestasi setempat mereka sejak menjadi wakil rakyat di sini pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lepas dan itu sedang menjadi buah mulut pengundi di sini," katanya.
Berbeza dengan kempen Pakatan Harapan (PH), Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata parti itu sudah mula dapat meredai 'mood' dan penilaian pengundi terhadap kerajaan, berbanding pada beberapa PRK yang berlaku selepas PRN yang menyaksikan mereka lebih terpengaruh kepada 'mood' nasional.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata dalam tempoh kempen yang berbaki seminggu sahaja lagi, jentera Perpaduan akan memperhebatkan lagi momentum untuk menerangkan dan menjelaskan pendirian kerajaan, dalam beberapa perkara yang dimainkan pembangkang agar dapat memberi signal yang jelas kepada pengundi terutama atas pagar.
Pada masa sama, beliau memuji koordinasi yang baik di antara semua jentera parti dalam membantu kempen calon PH, yang menurutnya berjaya mengatasi beberapa kelemahan yang berlaku pada PRK sebelum ini.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut .
-- BERNAMA
#Pakatan Harapan #PRK Sungai Bakap #memberi signal #hasil dapatan
;