PRK Sg Bakap: PH diramal menang jika berjaya tarik undi Melayu
Madiha Abdullah
Julai 3, 2024 23:45 MYT
Julai 3, 2024 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berpeluang untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini jika mereka berjaya menarik sokongan 36 peratus undi Melayu.
Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam pembentangan hasil kajiannya berkata, PH juga memerlukan undi India di tiga kawasan daerah mengundi iaitu Sungai Bakap, Puteri Gunong dan Ladang Sempah.
Kajian tersebut dijalankan dari 19 Jun sehingga 22 Jun, dengan data diperoleh menerusi temubual secara bersemuka membabitkan 786 responden.
Menurut Mohammad Redzuan, sejumlah 53.2 peratus pengundi yang ditemui menyatakan akan mengundi PH, manakala 43.0 peratus mengundi Perikatan Nasional (PN) dan selebihnya adalah pengundi atas pagar.
"Keterujaan untuk keluar mengundi juga tinggi iaitu 87.3 peratus, namun agak menarik untuk diberi perhatian apabila 94 peratus responden menyatakan mereka mempunyai ahli keluarga yang tinggal di luar kawasan, yang dilihat mampu menjadi pembolehubah keputusan pada hari mengundi,"katanya dalam sidang media pada Rabu.
Jelasnya lagi, persepsi dan sokongan masyarakat dilihat agak seimbang terhadap dua calon, Dr Joohari Ariffin (PH) dan Abidin Ismail (PN), namun Abidin lebih dikenali mungkin kerana kedudukannya dalam parti.
"Calon yang dikenali memang nampak Abidin lebih dikenali walaupun Dr Joohari penduduk tempatan, beliau tidak terlibat dalam parti sebagai pimpinan.
"Pengetahuan agama memang jauh tinggi (pilihan penduduk) Abidin. Kami kaji juga, beliau tak ada latar belakang pendidikan agama tapi masyarakat anggap begitu mungkin kerana parti yang diwakili.Persepsi masyarakat Melayu begitu, cara mereka faham Islam adakalanya agak simplistik.
"Dari segi tahap pendidikan ketara Joohari jauh ke hadapan (jadi pilihan), manakala faktor anak tempatan pula kedua-duanya seimbang,"ujarnya.
Selain itu katanya, faktor sokongan terhadap pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan, di mana masyarakat setempat melihat sumbangan Anwar paling besar adalah dalam isu Palestin serta penglibatan beliau di peringkat antarabangsa.
Malah, Mohammad Redzuan juga melihat penerimaan penduduk Sungai Bakap terhadap Fadhlina Sidek sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal juga sangat positif, yang mungkin akan mempengaruhi keputusan.