PRK Sg Bakap: Kerajaan Perpaduan mampu menang - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 2, 2024 22:07 MYT
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika sidang media pada Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
NIBONG TEBAL: Kerajaan Perpaduan mampu memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Perpaduan yakin akan menang PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berdasarkan gerak kerja kempen BN dan UMNO untuk menarik pengundi muda.
  • Ahmad Zahid meminta pengundi Sungai Bakap memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan, Joohari Ariffin, untuk kesinambungan perkhidmatan di kawasan itu.
  • PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Dr. Joohari dicabar oleh Abidin Ismail dari PAS dalam pertembungan satu lawan satu, susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata keyakinan tersebut adalah bersandarkan kepada gerak kerja kempen jentera BN dan UMNO yang telah melaksanakan kaedah tertentu untuk mendekati sekali gus menarik sokongan pengundi muda kepada calon Kerajaan Perpaduan Joohari Ariffin.
Beliau berkata jentera pilihan raya parti itu turut memberi tumpuan terhadap 5,105 ahli UMNO yang merupakan pengundi di DUN Sungai Bakap sejak pengisytiharan calon yang bertanding pada 22 Jun lepas.
"Untuk anak-anak muda, telah ada program tertentu yang kita laksanakan. Mereka mungkin bersentimen sebaliknya tetapi apabila pendekatan dilakukan dengan kaedah terbaik dan sesuai dengan cita rasa mereka, saya fikir akhirnya pada hari pengundian, mereka akan mengundi Dr Joohari Ariffin iaitu calon daripada Kerajaan Perpaduan.
"Kita akan menang, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pra Tahfiz Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Pulau Pinang di Dewan Perda-Tech, Bukit Panchor di sini hari ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid meminta pengundi Sungai Bakap memberikan sokongan dan dukungan kepada calon Pakatan Harapan untuk kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Rashidi Zinol.
"Saya harap ibu bapa dapat istiqamah bersama-sama dengan saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilahirkan di Sungai Bakap ini untuk terus menjadi pemimpin kita bagi pembangunan di Sungai Bakap, Nibong Tebal dan insya-Allah, di seluruh Pulau Pinang dengan bertambahnya seorang lagi ADUN daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #PRK Sg Bakap #Sungai Bakap #Ahamd Zahid Hamidi
;