PRK Semenyih: 'PH perlu akur, muhasabah diri' - Syed Saddiq

Astro Awani
Mac 3, 2019 14:55 MYT
SYED SADDIQ: Lebih baik kita bermuhasabah, akur kepada kekalahan tersebut, ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional, selepas ini terus bekerja dengan lebih keras. -Gambar fail
Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran keputusan pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semua pihak dalam PH perlu akur dan bermuhasabah diri di samping meneruskan kerja untuk kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan sekarang adalah untuk PH mencari titik pertemuan bagi memastikan parti itu melangkah jauh di masa hadapan.
"Sekarang bukan masa untuk kita tuding jari. Dalam hal ini, kita semua perlu bermuhasabah, semua ada peranan untuk dimainkan, semua boleh perbaiki termasuk diri saya, termasuk Armada termasuk Pemuda Harapan.
"Lebih baik kita bermuhasabah, akur kepada kekalahan tersebut, ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional, selepas ini terus bekerja dengan lebih keras untuk memastikan rakyat tetap bersama dengan kita," kata Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Esports Professional Industry Conference (EPIC) di sebuah hotel di Meru, Ipoh pada Ahad.
Sementara itu, dalam postingnya di Twitter malam tadi, Syed Saddiq mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan di PRK Semenyih.

Tahniah Barisan Nasional di atas kemenangan di Semenyih. Kepada penduduk Semenyih saya susun sepuluh jari memohon maaf kalau ada yang terkurang. Terima kasih kepada jentera HARAPAN yang tidak kenal erti penat. Keluarga ini akan terus langkah ke hadapan sambil bermuhasabah.

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) March 2, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam, BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih daripada PH selepas calon mereka, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan tiga lawannya.
Zakaria memperoleh 19,780 undi manakala calon PH, Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,866; Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia memperoleh 874 undi; dan calon Bebas, Kuan Chee Heng dengan 725 undi.
#ARMADA #Barisan Nasional #bermuhasabah diri #Pakatan Harapan #Pemuda Harapan #pilihan raya kecil #PRK DUN Semenyih #Syed Saddiq #tuding jari
;