PRK Semenyih: Muhyiddin yakin sokongan pengundi terhadap calon PH meningkat
Fareez Azman
Februari 28, 2019 20:43 MYT
Februari 28, 2019 20:43 MYT
Hanya kurang 48 jam lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap peratusan keluar mengundi di PRK tersebut tinggi.
Malah beliau turut menyuarakan keyakinan peningkatan sokongan rakyat terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali.
"Respon daripada pengundi dilihat menggalakkan, lebih-lebih lagi dengan adanya top five (pemimpin tertinggi) dan rakan-rakan lain turun padang. Kita yakin.
"Kita juga harapkan sokongan mereka akan diterjemahkan dalam bentuk peratusan keluar mengundi yang tinggi, tidak kira Melayu, Cina atau India," katanya selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Bilangan Kedua di Putrajaya pada Khamis.
Kata Muhyiddin, pengundi pelbagai kaum di kawasan DUN itu perlu mengambil kesempatan untuk menunaikan hak mereka menerusi sistem demokrasi.
"Ini sistem demokrasi, ini hak mereka untuk memilih. Kalau lebih ramai pengundi turun dari pagi sampai selesai pengundian, itu lebih baik. Itu yang saya harapkan," tambahnya.