PRK Semenyih: Kerjasama UMNO-Pas lebih menyeluruh
Astro Awani
Januari 22, 2019 21:00 MYT
Januari 22, 2019 21:00 MYT
Kerjasama UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih lebih menyeluruh, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, kerjasama UMNO dan Pas dalam PRK di Sungai Kandis dan Seri Setia sebelum ini hanya tertumpu kepada program bersama sahaja.
Bagi PRK Semenyih, kedua-dua parti yang berteraskan Melayu Islam ini akan mewujudkan jawatankuasa bersama yang dianggotai kepimpinan negeri bagi menyelaras gerak kerja bagi menentang calon Pakatan Harapan (PH).
"Untuk PRK Semenyih ini lebih menyeluruh, bukan sahaja setakat program tetapi dari awal sehingga hari mengundi, dari segi membawa keluar pengundi, mengenal pasti pengundi masing-masing untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN).
"Antara perkara yang kita akan akan lakukan, kita akan mewujudkan jawatankuasa bersama antara UMNO dan Pas yang dianggotai kepimpinan negeri masing-masing bagi menyelaras gerak kerja kita.
"Kita juga akan melancarkan jentera pilihan raya bersama. Bukan sahaja di peringkat pusat tetapi sehingga di peringkat Bahagian," katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.
Ismail Sabri dilaporkan berkata demikian dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Pas, Sallehen Mukhyi di Bangunan UMNO Selangor pada Selasa.
Dalam PRK Sungai Kandis yang ditandingi BN dan PRK Seri Setia yang diwakili oleh PAS, kedua-dua parti itu tewas menentang calon daripada PH.
Menurut Ismail Sabri, PRK Semenyih kali ini jauh berbeza kerana dua PRK sebelum ini diadakan tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan pada Mei lalu di mana sentimen rakyat ketika itu masih kuat menyokong PH.
Jelasnya, senario ini sudah berubah apabila rakyat mula melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat terutamanya melibatkan kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan.
"Rakyat begitu kecewa dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan, malah lebih menderita dengan harga komoditi yang turun dan kos sara hidup yang melambung tinggi.
"Rasa ketidakpuasan hati mereka dapat kita lihat di media sosial namun kali ini kita harap mereka dapat menterjemahkannya di kertas undi," ujarnya.
Sementara itu, Sallehen menyifatkan Pas dan UMNO sudah mempunyai kematangan dalam mengadakan kerjasama dan dengan pengalaman sebelum ini termasuk yang sedang berlangsung di PRK Cameron Highlands.
Menurutnya, Pas telah menyatakan komitmen untuk menurunkan seberapa daya yang boleh menggerakkan jentera dan ahli bersama-sama berkempen dengan jentera UMNO.
"Fokus kita adalah untuk cuba memastikan 6,966 undi Pas yang kita perolehi dalam PRU lalu melalui calon kita, akan dapat kita kekalkan dan kita akan cuba dapatkan 20 peratus lagi supaya dapat mengundi calon UMNO.
"Jentera akan turun seluruhnya, kita bergerak ikut arahan yang dikeluarkan dan memastikan bilik gerakan Pas akan beroperasi PRK ini dan berkeyakinan UMNO akan atau calon yang kita persetujui akan menang di DUN Semenyih," katanya.
PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dengan hari penamaan calon pada 16 Feb sementara hari mengundi awal pada 26 Feb.
Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.