PRK Sandakan: Linda Tsen diumum calon Parti Bersatu Sabah
Harits Asyraf Hasnan
April 26, 2019 17:00 MYT
April 26, 2019 17:00 MYT
Bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin diumumkan sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili selepas bermesyuarat di Pejabat PBS Sandakan di sini hari ini.
Linda yang merupakan anak jati tempatan kini adalah Ketua Bahagian PBS Elopura, salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Sandakan.
Dalam sidang media tersebut, Linda secara ringkas berkata mahu partinya itu kembali mencipta nama di Sabah.
“Untuk parti, saya akan bekerja keras mendekati para pengundi kerana saya mahu parti ini dikenali semula menggunakan bendera parti, PBS,” katanya.
Pengumuman rasmi itu sekali gus menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Linda dan calon DAP, Vivian Wong yang bakal mempertahankan kerusi mendiang bapanya.
Bagaimanapun beberapa individu dilaporkan bakal bertanding atas tiket bebas pada PRK yang bakal berlangsung pada 11 Mei ini.