PRK Sandakan: 47% keluar mengundi sehingga 3 petang

Harits Asyraf Hasnan
Mei 11, 2019 13:18 MYT
Calon DAP Vivian Wong dan kakaknya Benita Wong sudah menjalankan tanggungjawab mereka. - Foto DAP
Peratusan yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sehingga 3 petang tadi adalah 47 peratus, menurut Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Ia setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah antara yang meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi seperti Sekolah Menengah Yu Yuan dan Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 dan 2.
Calon-calon yang mengundi pagi tadi ialah calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Bebas Chia Siew Yung dan calon Bebas Sulaiman Abdul Samat.
Proses pengundian berjalan sehingga 5 petang ini melibatkan 39,684 pemilih berdaftar, yang SPR menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi.
Sepanjang pagi tadi cuaca baik, namun Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir di beberapa tempat di Sandakan pada sebelah petang nanti.
#Azhar Azizan Harun #Chia Siew Yung #Jabatan Meteorologi #Omar Mammah #PRK Sandakan #Sandakan memilih #SK Sri Tanjung Papat 1 #SK Tanjung Papat 2 #Sulaiman Abdul Samat #Vivian Wong
;