PRK: Saifuddin optimis PH pertahan kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram
Abd Hadi Che Awang
Ogos 26, 2023 12:19 MYT
Ogos 26, 2023 12:19 MYT
POKOK SENA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail optimis kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram mampu dipertahan gabungan itu yang kini turut bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) melalui Kerajaan Perpaduan.
Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa gelombang parti itu sudah sampai ke Johor, beliau menegaskan, dakwaan itu hanya boleh dibuktikan pada hari pengundian, iaitu pada 9 September ini.
"Saya semalam berada di Johor, saya optimis (bahawa kerusi DUN) Simpang Jeram dan (Parlimen) Pulai akan dapat dipertahan oleh Pakatan Harapan dan (juga) oleh (Unity Goverment) UG (atau Kerajaan Perpaduan),
"(Berkaitan dengan dakwaan gelombang PN itu), kita tengok pada 9 (September) depan," kata beliau.
Saifuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan replika cek bagi pembelian van jenazah di Masjid Ar-Raudhah Sungai Durian, di sini, pada Sabtu.
Pada Khamis, Muhammad Sanusi menyatakan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menjadi bukti penularan gelombang PN di Johor.
Beliau berkata, penularan itu sekali gus menjadi isyarat penting terhadap kebangkitan rakyat terutamanya berdasarkan kepada prestasi PN yang cemerlang dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menyifatkan negeri Johor bukan lagi kubu kuat UMNO, sebaliknya memberi bayangan parti berusia lebih tujuh dekad itu akan terkubur disebabkan gelombang PN yang semakin melebar.
PRK bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kedua-dua kawasan.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.