PRK: Rugi jika pengundi Simpang Jeram tak pilih Nazri sebagai wakil rakyat - Zahid
Bernama
September 2, 2023 19:50 MYT
September 2, 2023 19:50 MYT
MUAR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengundi di Simpang Jeram akan mengalami kerugian sekiranya tidak memilih calon Pakatan Harapan, Nazri Abdul Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 Sept ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata ini kerana Nazri yang pernah berkhidmat sebagai jurutera di Majlis Perbandaran Muar telah banyak berjasa dan menabur bakti kepada penduduk di Muar, termasuk di Simpang Jeram selama ini.
"Beliau telah banyak berbakti selama ini tentunya berbanding dengan seorang lagi (calon), ya seorang lagi saya tak mahu sentuh tentang peribadi.
"Tetapi saya lakukan perbandingan kedua-duanya, yang terbaik yang harus dipilih oleh pengundi di Simpang Jeram ini adalah Nazri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram : Mini Ekspo Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Keusahawanan Desa di Sungai Abong.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Nazri.
Ahmad Zahid berkata Nazri juga dilihat sebagai calon yang sangat berkaliber memandangkan beliau juga sedang melengkapkan kajian doktor falsafah (PhD) berkaitan banjir bagi membantu rakyat, termasuk kira-kira 40,000 pengundi berdaftar di kawasan itu.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata disebabkan itu jugalah, penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, turut memilih Nazri bagi membantu Salahuddin menjaga kawasan itu selama dua penggal.
Katanya kestabilan politik merupakan satu formula utama untuk menggarap kemajuan di sesuatu kawasan atau di sesebuah DUN dan ia sudah tentu harus diterjemah di peringkat negeri.
"Jika Nazri dipilih ia bukan saja terus beri kesinambungan pengukuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat DUN dan juga di peringkat negeri Johor, pastinya ia merupakan satu terjemahan pengukuhan kepada kestabilan kerajaan negeri Johor," katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
PRK di kedua-dua kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S. Jeganathan.
-- BERNAMA