PRK Rompin: Pengundi muda jangan ikut emosi pilih pemimpin - KJ

Bernama
Mei 1, 2015 19:03 MYT
KJ: Pengundi muda jangan ikut emosi pilih pemimpin - Foto Bernama
Pengundi muda perlu menilai perjuangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, sebelum memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Selasa depan.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata golongan muda juga tidak boleh terlalu beremosi dalam memilih pemimpin yang seterusnya tidak membawa perubahan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
"Apakah kita sanggup menggadaikan perjuangan dan pembangunan yang diperjuangkan kerajaan selama ini? Jangan kerana kita marahkan kepada isu-isu tertentu, kita pilih pemimpin yang akhirnya bukan dari kerajaan (BN) yang tidak dapat membantu penduduk.
"Calon kita, Datuk Hasan Arifin bukan pemimpin baru dalam politik, beliau banyak pengalaman, beliau mampu menyelesaikan masalah sekiranya dipilih," katanya ketika berucap semasa melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Ibam, di sini hari ini.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, percaya BN masih mendapat sokongan berterusan daripada golongan muda di kawasan parlimen itu walaupun pembangkang cuba menimbulkan kebencian dengan membangkitkan pelbagai isu.
"Bagaimanapun kita perlu tingkatkan usaha dan saya harap penjelasan diberikan antaranya berkaitan isu membabitkan orang muda di Felda seperti perumahan generasi kedua dapat diberikan oleh Felda.
"Kita juga yakin dapat menandingi majoriti undi yang diperoleh (Allahyarham) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas," katanya.
Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita mengenai pelancaran sayap Pemuda BN yang tidak diadakan serta pergerakan jentera Pemuda BN yang dilihat kurang menonjol, Khairy mengakui perkara itu berlaku di peringkat awal kempen.
"Rompin kawasannya luas, kita sudah jelaskan sebelum ini bendera dan poster yang tidak kelihatan sebab keluasannya.
Pelancaran sayap pula bukanlah perkara wajib dalam PRK ini. Apa yang penting penamaan calon dan pengumuman calon," katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut meluluskan peruntukan untuk membina sebuah gelanggang futsal di Bukit Ibam bagi memenuhi permintaan golongan muda yang memerlukan kawasan untuk berekreasi.
Jelasnya, cadangan pembinaan futsal itu bukanlah sebagai sogokan kepada pengundi sempena pilihan raya kecil itu, sebaliknya ia merupakan tanggungjawabnya sebagai menteri.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon PAS Nazri Ahmad berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka semalam, di empat pusat pengundian, dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan mengundi pada Selasa ini.
#BN #KJ #Rompin #UMNO
;