PRK Rompin: Kemenangan BN boleh dibanggakan - Hishammuddin

Bernama
Mei 5, 2015 07:40 MYT
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata jumlah mereka yang keluar mengundi pada PRK itu berkurangan dengan hanya 74 peratus atau 38,697 pengundi, berbanding 85 peratus atau 46,035 pengundi pada PRU-13.
Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin disifatkan sebagai satu keputusan yang boleh dibanggakan.
Ketua Penyelaras Jentera BN PRK itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata walaupun jumlah majoriti diraih BN tidak mencapai sasaran ditetapkan, ia bukan satu jumlah yang kecil berdasarkan pelbagai isu dibangkitkan oleh pembangkang.
"Kita kena faham situasi pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil adalah berbeza, kita telah cuba pastikan pengundi keluar mengundi.
"Bila kita buat post mortem nanti, kita akan tahu, mungkin kerana pengundi luar tidak balik. Kita akan cari sebab majoriti berkurangan," kata Naib Presiden UMNO itu kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin, Selasa malam.
Pada PRU ke-13 lepas, penyandang kerusi Parlimen itu Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis memperoleh majoriti 15,114 undi, setelah meraih 30,040 undi atau 66.53 peratus, berbanding pencabarnya calon PAS Nuridah Mohd Salleh yang mendapat 14,926 undi atau 33.06 peratus.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata jumlah mereka yang keluar mengundi pada PRK itu berkurangan dengan hanya 74 peratus atau 38,697 pengundi, berbanding 85 peratus atau 46,035 pengundi pada PRU-13.
Beliau berkata tumpuan BN kini adalah untuk meneruskan agenda dan membela nasib rakyat.
#Hasan Arifin #Hishammuddin Hussein #Nazri Ahmad #PRK #Rompin
;