PRK Rantau: Polis terima 73 laporan, 15 kertas siasatan dibuka

Sahlizah Mohamed
April 9, 2019 10:07 MYT
AHMAD JAMALUDIN: Bagi 15 kertas siasatan yang dibuka adalah di bawah kesalahan pilihan raya dan juga pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. -Astro AWANI
Polis mengesahkan menerima 73 laporan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Jurucakap media dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka.
“Setakat hari ini, kita telah menerima lebih kurang 238 permohonan permit dan kesemuanya telah diluluskan. Selain itu, 73 laporan polis telah diterima dan 15 kertas siasatan dibuka.
“Bagi 15 kertas siasatan yang dibuka adalah di bawah kesalahan pilihan raya dan juga pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
“Begitupun, tiada apa yang serius berlaku yang dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Polis Rantau menjelang proses pengundian awal PRK Rantau pada Selasa.
Seramai 110 daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal bagi PRK Rantau Pilihan akan mengundi pada hari ini.
Mereka merupakan 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
Baki seramai lapan pengundi yang terdiri daripada anggota tentera akan mengundi secara pos.
#73 laporan polis #Ahmad Jamaludin #DUN Rantau #pilihan raya kecil #prk rantau
;