PRK Rantau: PKR senarai 3 calon wanita tempatan

Sahlizah Mohamed
Februari 19, 2019 18:53 MYT
Menurut Zuraidah, calon wanita perlu diketengahkan kerana jumlah wakil rakyat wanita masih kurang baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). - Foto Astro AWANI
Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat telah menyenaraikan tiga nama calon wanita tempatan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.
Naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin berkata, calon wanita perlu diketengahkan kerana jumlah wakil rakyat wanita masih kurang baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita konsisten untuk mengetengahkan calon wanita dan untuk itu, amat perlu untuk kita promosikan calon daripada golongan wanita.
“Kita sudah ada nama dan sudah boleh dihantar untuk pertimbangan. Semuanya calon tempatan dari Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pemilihan calon bagi PKR Rantau.
Mahkamah Persekutuan pada Isnin, menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.
Terdahulu, Zuraida hadir merasmikan majlis penutup World Urban Forum 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Untuk PRK, adalah penting untuk kita mengetengahkan calon tempatan.
“Nama-nama ini bagaimanapuan telah disenaraipendek oleh wanita PKR dan bukan oleh parti,” katanya.
#calon #Malaysia Baharu #Mohamad Hasan #Negeri Sembilan #Parti Keadilan Rakyat #pemilihan #pilihan raya kecil #PKR #Pusat Konvensyen Kuala Lumpur #rakyat #Rantau #Seremban #wanita #World Urban Forum 2019 #Zuraida Kamaruddin
;