PRK Rantau: Dr Streram mahu naik taraf Klinik Kesihatan jika menang
Rahimah Abdullah
Mac 31, 2019 15:00 MYT
Mac 31, 2019 15:00 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram berhasrat menaik taraf Klinik Kesihatan sedia ada di Rantau jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu 13 April ini.
Jelasnya, kemudahan itu ketika ini tidak mampu menampung jumlah penduduk setempat yang semakin meningkat.
"Untuk saya, saya hendak naik taraf Klinik Kesihatan sebab ia tidak cukup untuk mendapatkan bantuan dari satu hospital. Kita tidak mahu buang wang kerajaan. Sebagai pengamal perubatan selama 38 tahun, walaupun saya kerja di sektor swasta, saya juga pernah kerja di kerajaan dulu, jadi saya tahu apa perlu buat untuk rakyat dari segi kesihatan," katanya semasa ditemui media selepas melakukan walkabout di kawasan perumahan Bandar Ekar 1 di DUN Rantau di sini, pada Ahad.
Selain itu, kemudahan Klinik Kesihatan di Rantau yang tidak memuaskan, jumlah ambulans juga perlu ditambah.
Ketika ini, katanya, penduduk Rantau banyak bergantung kepada ambulans dari Hospital Seremban jika berlaku kecemasan.
Malah, kalangan warga emas adalah mereka yang paling ramai memerlukan perkhidmatan ambulans yang boleh sampai dengan lebih cepat.
"Ada beberapa insiden berlaku di sini kerana ambulans rosak. Kita sudah beritahu semasa kerajaan BN (Barisan Nasional) dulu tetapi tiada langkah oleh kerajaan BN. Sekarang kita akan beritahu kerajaan PH masalah ini," jelasnya lagi.
Ujarnya, buat masa ini, tidak perlu untuk membina hospital di Rantau, sebaliknya menambah baik Klinik Kesihatan sedia ada memandangkan beliau memahami pembinaan sebuah hospital memerlukan kos yang tinggi.
"BN kata sebelum ini hendak membina hospital di Rembau. Sudah berapa kali beritahu namun sampai sekarang pun tidak siap. Apa guna buat pengumuman kata nak buat hospital di Rantau? Ini tidak masuk akal untuk saya. Jadi Klinik Kesihatan ini perlu dinaik taraf tapi kita tidak cukup wang di Persekutuan dan di Negeri, kita mesti jimat wang. Saya mungkin hendak kerajaan membina hospital di Rembau supaya kita boleh salurkan pesakit kita ke Rembau selain Seremban," tambahnya.
Selain kemudahan, Klinik Kesihatan juga memerlukan jumlah pakar perubatan yang mencukupi untuk merawat pesakit.
Melalui penambahbaikan itu, penduduk Rantau tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya dengan Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan terutama mereka yang menghidap penyakit kronik.
"Saya tahu kerana saya seorang doktor. Ini kerana ada kekurangan doktor, pakar perubatan dan banyak lagi di Rantau ini. Mungkin kita boleh guna pakar di Hospital Seremban untuk dibawa ke Rantau bagi menyelesaikan masalah ini dan doktor ini boleh bergilir-gilir dari Hospital Seremban ke Rantau," tambah beliau.