PRK Rantau: Anak muda boleh beri kemenangan kepada PH - Armada
Astro Awani
Mac 30, 2019 05:12 MYT
Mac 30, 2019 05:12 MYT
Pengundi muda menjadi faktor yang boleh memberi kemenangan untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Lumut, Akmal Maradzi berkata, peratus besar anak muda masih menyokong PH sekali gus mengekalkan momentum kemenangan beberapa PRK sebelum ini.
Pengundi muda di PRK Rantau yang berumur 21 sehingga 40 tahun adalah kira-kira 4,016 orang dan ia mencatatkan 39.16 peratus daripada keseluruhan pengundi.
"Saya lihat majoriti PH memberi tumpuan kepada gerakan gerila berbanding fizikal. Kebanyakan pondok panas PH sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sangat kurang orang berbanding Barisan Nasional (BN).
"Akhirnya PH berjaya sebelum ini kecuali di PRK Cameron Highlands dan Semenyih. PH tetap menang di hati pengundi pada hari pembuangan undi, kita menangi hati pengundi senyap.
"Saya tetap berharap PH agar dapat memandang serius tentang pengundi muda seperti dulu, seperti yang telah kita buat percaturan," katanya semasa dihubungi di sini, pada Ahad.
PRK Rantau bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan dua calon bebas.
Mereka ialah Calon PH, Dr. S. Streram, Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon bebas masing-masing Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
Ketika ditanya kemampuan dan kekuatan BN sendiri selepas memenangi dua PRK terakhir sebelum Rantau, ini kata Akmal;
"Bagi saya untuk BN kembali memeritah mereka mestilah perlu membuat perubahan secara total bukan hanya dalam UMNO tetapi dalam BN sendiri, termasuk Pas.
"Mereka kena beri keutamaan kepada pembentukan ikon baru iaitu anak muda yang bersih dan berpendidikan.
"Bagi PH pula kita seharusnya berani dengan terus melahirkan ikon-ikon baru iaitu anak muda yang berkarisma, berpendidikan tinggi, berintegriti, mesra dan sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat."
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata pengundi muda kali ini akan menolak PH pada PRK Rantau.
"Kerana banyak janji-janji manis kepada pengundi muda tidak ditunaikan antaranya penghapusan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengurangan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dari RM1,200 setahun kepada RM300.
"PH juga masih meletakkan calon tua sebagai pencabar kepada penyandang BN, Mohamad. Ini bukti PH tidak menaruh harapan dan tidak serius dalam menarik sokongan orang muda," ujarnya.
Selain itu, jelasnya, calon BN juga terbukti mempunyai reputasi tinggi dengan pengalaman sebagai menteri besar terbaik dalam sejarah BN Negeri Sembilan yang mahir dalam pengurusan kewangan dan hal sosial masyarakat.
PRK Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas, yang mengisytiharkan kemenangannya bagi kerusi DUN itu dalam PRU14, terbatal dan tidak sah.
Dalam PRU14, Mohamad, calon BN, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, seorang pakar bius yang menjadi calon harapan PH, dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.
#Barisan Nasional
#Bersih
#GERAKAN
#Mohamad Hasan
#Pakatan Harapan
#PAS
#PRU14
#Semenyih
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#UMNO