PRK Pulai: Tempuh perjalanan 4 jam pulang mengundi

Hasimi Muhamad
September 9, 2023 11:51 MYT
Dari kiri: Muhamad Zulfikar, Zaharah dan Azlan.
JOHOR BAHRU: Walaupun hujan pada sebelah pagi di kebanyakan Pusat Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, ia tidak menghalang pengundi untuk keluar memilih wakil rakyat mereka, hari ini.
Tinjauan awal Astro AWANI di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Melati mendapati kehadiran pengundi di lokasi berkenaan menggalakkan.
Bagi Muhamad Zulfikar Akmal, 32, yang merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dia sanggup pulang dari Kuala Lumpur untuk menunaikan tanggungjawabnya walaupun perlu menempuh perjalanan lebih empat jam.
"Memang betul semangat masih berkobar-kobar sebab saya pun dari Kuala Lumpur. Untuk PRK kali ini, saya harap sangat, wakil rakyat yang menang, tolong bagi kerjasama kepada rakyat dan jangan dah menang, lupa diri.
"Saya bertolak dari Kuala Lumpur dalam pukul 4 pagi dan sampai sini lebih kurang pukul 9 pagi. Esok lebih kurang dalam pukul 12 tengah hari balik Kuala Lumpur semula," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sementara itu, pekerja swasta, Azlan Yusuf, 31, berkata dia memilih untuk keluar awal kerana perlu menyelesaikan beberapa urusan lain dan tidak mahu terlepas memberikan satu undinya.
"Harapan secara umumnya bahawa semua rakyat mahukan kestabilan dari segi ekonomi dan kita tahu harga barang sekarang sekejap naik, sekejap turun. Jadi saya ingin kawalan terhadap keadaan-keadaan itu dilakukan.
"Kepada pengundi-pengundi muda di luar sana yang sepatutnya keluar mengundi, laksanakanlah tanggungajwab supaya di kemudian hari anda semua tidak rugi dan menyesal," nasihatnya.
Seorang lagi pengundi warga emas, Zaharah Kasman, 70, berkata selain pembangunan Parlimen Pulai, dia keluar menjalankan tanggungjawab juga untuk memastikan negara ditadbir oleh pemimpin yang bertanggungjawab.
"Tadi keluar dalam jam 7.30 pagi, pergi kubur dulu dan baru datang sini. Undi ini penting kerana kita nak pertahankan negara kita, dan takut dijajah oleh orang lain," ujarnya.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
#PRK Johor #Parlimen Pulai #hari mengundi #pengundi muda
;