PRK Pulai: Sukarnya hidup di bandar, dihimpit pula kenaikan harga barang
Hasimi Muhamad
Ogos 31, 2023 11:52 MYT
Ogos 31, 2023 11:52 MYT
JOHOR BAHRU: Peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakstabilan ekonomi yang melanda dunia kekal menjadi isu utama yang menghimpit masyarakat di negara ini.
Keadaan itu semakin mencabar bagi mereka yang tinggal di tengah bandar raya termasuk di Parlimen Pulai, Johor Bharu.
Kenaikan kos sara hidup 'mencengkam' mereka setiap hari. Ia bertambah pedih apabila peningkatan itu tidak selari dengan pendapatan yang diperolehi.
Beberapa individu yang ditemui Astro AWANI di sekitar Taman Perling, di sini 'menagih' usaha segera daripada pihak Kerajaan Negeri, mahupun Persekutuan agar perkara itu dapat diatasi.
Menurut pengawal keselamatan, Afandi Ahmad, 56, dia terpaksa melakukan dua kerja untuk mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga termasuk enam orang anak.
"Saya harap kepada wakil rakyat yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, tak kira mana-mana parti, dapat membela rakyat.
"Sebab rakyat tersepit buat masa sekarang, dengan keadaan ekonomi dan juga parti yang ada dalam kerajaan sekarang, (seolah-olah) tak nampak apa perubahan (dilakukan) dari segi kenaikan harga barangan.
"Kos sara hidup adalah terlalu tinggi buat saya, memandangkan gaji saya hanya sekadar berapa, ditambah pula dengan sewa rumah," katanya ketika ditemui di sini.
Bagi kontraktor, Ismail Othman, 55, pula dia perlu mengehadkan perbelanjaan harian kerana kenaikan harga barangan bagi memastikan pendapatannya mencukupi.
"Memang terjejas lah lagi macam saya ada menanggung anak sekolah.
"Isteri saya pun kerja untuk kami sama-sama tanggung lima orang anak termasuk yang masih belajar.
"Kalau dulu memang orang kata boleh lagi, kalau kata sebulan belajar kita bagi (perbelanjaan) sekitar RM400 masih boleh (menampung), tetapi sekarang memang tak dapat lah. Kalau setakat RM400 atau RM500, masih tak cukup," kongsinya.
Sementara itu, peniaga ayam goreng, Muzakkir Muhd Yusuf, 27, dia mengakui peningkatan harga barangan menjejaskan operasi perniagaan dan keuntungan.
"Saya sudah berniaga di sini dalam lima tahun lebih, setakat ini perniagaan agak perlahan mungkin disebabkan harga barang naik.
"Masalah ini perlu diselesaikan... harga barang turun, ayam turun, insya-Allah akan lebih menguntungkan," luahnya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak RM254.3 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi melaksanakan Program-Program Pembasmian Miskin Tegar sepanjang tahun ini di Johor bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata atas inisiatif itu, jumlah miskin tegar di negeri berkenaan telah turun daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) pada Mac lepas kepada 3,270 KIR Ogos tahun lalu.