PRK Pulai: Pusat undi awal Balai Polis Kempas tutup 12 tengah hari

Bernama
September 5, 2023 12:19 MYT
Anggota polis menunjukkan jari yang dicelup menggunakan dakwat khas selepas mengundi awal di Pusat Mengundi Balai Polis Kempas hari ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Satu daripada dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai iaitu di Balai Polis Kempas, di sini ditutup tepat 12 tengah hari ini.
Pusat pengundian awal berkenaan ditutup selepas empat jam dibuka pada 8 pagi tadi dengan pengundi terakhir hadir pada 11.05 pagi.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh hadir di Pusat Pengundian Awal berkenaan pada 9.20 pagi bagi meninju proses pengundian awal.
Turut meninjau proses undi awal di situ, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat serta dua daripada tiga calon bertanding iaitu Zulkifli Jaafar (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Samsuddin Mohamad Fauzi.
Selain proses undi awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas, proses pengundian awal PRK Pulai hari ini turut dijalankan di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi yang dibuka serentak pada 8 pagi tadi dan akan ditutup 5 petang nanti.
Sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian tersebut melibatkan 46 pemilih di Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Markas PPM Wilayah Dua.
Sementara itu, keadaan cuaca sepanjang pagi ini amat baik dan cerah, bagaimanapun Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di beberapa tempat dalam daerah Johor Bahru pada sebelah petang ini.
PRK itu diadakan susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada 23 Julai lepas.
Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN tersebut.
SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini, selepas tempoh berkempen yang bermula pada 26 Ogos lepas dan berakhir pada 11.59 malam, 8 Sept.
-- BERNAMA
#PRK Pulai #pusat undi #ditutup #undi awal #PRK Johor
;