PRK Pulai: Orang Asli Kampung Bakar Batu mahu nelayan dibela, kediaman baharu
Hasimi Muhamad
September 6, 2023 16:02 MYT
September 6, 2023 16:02 MYT
JOHOR BAHRU: Bergantung hidup kepada hasil laut untuk menampung kehidupan, sudah tentu ada pasang surutnya.
Jika langitnya cerah, mungkin nasib menyebelahi mereka yang bergelar 'pelaut'.
Tinggal di pinggir bandar Johor Bahru, penduduk Orang Asli Kampung Bakar Batu juga mahu nasib mereka tidak dipandang sepi.
Lebih 200 komuniti Orang Asli laut suku Seletar di kampung itu bekerja sebagai nelayan.
Turun pagi.. kadang-kala malam baru kaki jejak ke darat, semuanya demi mengisi perut keluarga.
Mereka tidak pernah menagih simpati, tetapi hanya mahu menikmati kemajuan yang sama seperti yang lain.
Menurut Tok Batin Kampung Bakar Batu, Kais Kie, 62, pendapatan komuniti Orang Asli di kawasan itu banyak terjejas kerana tangkapan laut yang semakin berkurangan.
"Memang biasa sebagai nelayan memang biasa terkesan. Pencarian kita semua dah kurang... Kalau zaman dulu sekitar tahun 60-an atau 80-an, keadaan 'okay' lagi.
"Tetapi sekarang hutan bakau dah tiada, dan ia menyebabkan ikan berkurangan dan tidak membiak (tiada tempat pembiakan)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kongsi Kais lagi yang sudah puluhan tahun menjadi nelayan, keadaan semakin sukar apabila tiba musim tengkujuh sehingga ada dalam kalangan nelayan yang pulang tangan kosong.
"Kita sekarang bergantung kepada nasib kalau ada, ada lah. Kadang-kadang balik kosong atau balik malam, tak tentu sekarang.
"Dulu boleh dapat ikan sampai bertan-tan, tetapi sekarang merosot teruk sebab satunya, ikan sudah pupus," luah bapa kepada dua cahaya mata itu.
Dalam masa sama, dia menambah keadaan penduduk yang tidak mempunyai pendapatan tetap menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah sendiri.
Ujarnya, kebanyakan masyarakat Orang Asli di kampung itu berkongsi rumah sehingga tiga keluarga.
"Mereka yang kahwin itu tiada rumah lagi dan masih tinggal di rumah ibu bapa.
"Kadang-kadang yang dah kahwin itu duduk dua atau tiga orang di sebuah rumah, menyebabkan rumah jadi sempit," katanya.
Sehubungan itu, Kais berkata besar harapan komuniti Orang Asli di kampung itu agar wakil rakyat yang diberikan mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai nanti boleh membela nasib mereka.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.