PRK Pulai: 'Johor tak dididik undi sesuatu parti, jalan ke syurga' - Ahmad Maslan

Hasimi Muhamad
September 1, 2023 15:31 MYT
Ahmad berkata para pengundi di Johor tidak sama seperti tiga negeri di bawah PN iaitu Kelantan, Kedah serta Terengganu yang disifatkan 'lebih biasa' dengan Pas. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Angin perubahan khususnya sokongan pengundi Melayu yang dilihat beralih kepada Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu, diyakini tidak berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, para pengundi di Johor tidak sama seperti di tiga negeri di bawah PN iaitu Kelantan, Kedah serta Terengganu yang disifatkan 'lebih biasa' dengan Pas.
"Tapi kita (Johor) tidak biasa dengan Pas.
"Kita ada pendidikan agama Darjah 1 sampai Darjah 6, kemudian ada darjah khas untuk majoriti rakyat negeri Johor, dan kita tidak pernah dididik bahawa mengundi sesuatu parti maka, ia adalah jalan ke syurga," katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata para pengundi di Johor juga tidak mudah diselewengkan dengan fakta Islam yang dimainkan oleh parti pembangkang.
Ini kerana katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pendidikan Islam dalam kalangan rakyat Johor termasuk melalui peruntukan belanjawan.
"Orang Johor mempunyai pendidikan Islam yang teratur dan kita ada sekolah-sekolah agama, tajaan Kerajaan Negeri, yang mana pada ketika bajet ia adalah 'top 5' Kerajaan Negeri mengenai pendidikan Islam," tambah Ahmad.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan yakin bahawa calon Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September depan.
Begitupun, Ahmad berharap jentera pilihan raya perlu memperkasakan gerak kerja kempen termasuk mendidik pengundi dalam kumpulan berusia bagi memangkah calon PH.
"Saya mengharapkan agar jentera kita mengajar terutama orang-orang veteran dan lama, kertas undi replika, iaitu kertas undi semacam kertas undi sebenar untuk mereka memangkah di sebelah nombor dua (Suhaizan Kayat) kerana mereka yang biasa dengan beberapa kali pilihan raya tetapi tidak ada lambang 'dacing' (BN), dan itu agak mencabar untuk kita berikan penjelasan," katanya.
Ujarnya lagi, mandat yang diberikan kepada calon PH akan memastikan agenda untuk membangunkan kawasan tersebut dapat terus dilaksanakan, selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon PN, Zulkifli Jaafar serta Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.
#PRK Pulai #Kerajaan Perpaduan #PH menang PRK Pulai #Ahmad Maslan
;