PRK Pulai: Enam kali kalah, sebab Pas sukar diterima di Johor - Suhaizan

Hasimi Muhamad
September 9, 2023 23:55 MYT
Suhaizan menyifatkan, kekalahan enam kali beliau sebelum ini yang bertanding atas tiket Pas, adalah kerana parti itu sukar diterima di Johor. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Selepas enam kali mencuba nasib dalam pilihan raya, tuah kali ini menyebelahi Suhaizan Kayat selepas memenangi kerusi Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menyifatkan, kekalahan enam kali beliau sebelum ini yang bertanding atas tiket Pas, adalah kerana parti itu ‘sukar diterima’ di Johor.
“Itu semua pengalaman sebab pada waktu itu saya bertanding atas tiket Pas, di Johor ini Pas kurang diterima oleh masyarakat.
“Jadi peringkat awal itu memang susah kan kerana tiada sokongan yang kuat di Johor,” katanya ketika kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.
Suhaizan yang mempertahankan kerusi yang disandang oleh ‘bossnya’, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menambah, jika beliau bertanding di bawah gabungan yang baik mungkin kemenangan akan berpihak lebih awal kepadanya.
“Kalau maknanya saya terus bertanding di tempat yang strategik dan juga di bawah Kerajaan Perpaduan seperti ini, saya rasa lebih awal untuk menang,” ujarnya lagi.
KEPUTUSAN RASMI DAN TIDAK RASMI DI SINI
Dalam masa sama, Suhaizan berkata kemenangan calon-calon PH dalam PRK kali ini juga sekali gus menepis dakwaan wujud gelombang yang akan membadai selatan tanah air.
Suhaizan memperoleh sebanyak 48,283 undi, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN).
Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai memperoleh 29,642 undi.
Ini sekali gus menyaksikan Suhaizan menang selesa dengan majoriti undi 18,641.
Sementara, calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 528 undi, sekali gus hilang deposit.
#PRK Johor #PRK Pulai #Suhaizan Kayat #PAS
;