PRK Pulai: Calon PH puas hati perjalanan proses undi awal

Bernama
September 5, 2023 13:15 MYT
Suhaizan(tiga, kiri) ketika meninjau proses undi awal sempena PRK Parlimen P.161 Pulai di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal PRK Parlimen Pulai yang berlangsung hari ini.
Beliau menyifatkan proses pengundian dilihat cukup teratur tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
"Alhamdulillah pengundian berjalan lancar...kita ada dua tempat pengundian awal iaitu di Markas Polis Marin Wilayah Dua dan Balai Polis Kempas yang masing-masing akan tutup pukul 5 petang dan 12 tengah hari," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian awal PRK Pulai di Markas Polis Marin Wilayah Dua, di sini hari ini.
Sementara itu Suhaizan menegaskan penggunaan logo Pakatan Harapan (PH) melambangkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bertanding dalam PRK berkenaan dengan beliau dipilih sebagai wakil.
"Sama macam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, walaupun belum ada keputusan lagi, namun status quonya itu adalah daripada Barisan Nasional (BN), jadi kita (PH) akan bantu BN nanti," katanya apabila diminta mengulas sejauh mana PH mampu meyakinkan pengundi BN untuk mengundi PH meskipun tiada logo dacing di kertas undi.
PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru di kerusi masing-masing, melibatkan pertembungan antara calon PH dengan Perikatan Nasional dan calon Bebas.
PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.
-- BERNAMA
#PRK Pulai #calon PH #Suhaizan Kaiat #pengundian awal #PRK Johor
;