PRK Pulai: 'Baru berkawan, dah kata DAP berubah' - Radzi Jidin
Hasimi Muhamad
September 2, 2023 07:00 MYT
September 2, 2023 07:00 MYT
JOHOR BAHRU: Kenyataan pimpinan UMNO kononnya DAP yang kini bersama Kerajaan Perpaduan sudah berubah, disifatkan sebagai terlalu awal memandang parti Melayu itu baru sahaja 'berkawan' dengan parti tersebut.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Radzi Jidin berkata, agenda negara sekular dan slogan 'Malaysian Malaysia' tidak pun digugurkan DAP, meskipun wujud gesaan oleh UMNO Bahagian Pulai.
Dakwa beliau lagi, UMNO juga seolah-olah sudah hilang kuasa ketika ini selepas bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
"Beberapa hari baru berkawan nak cerita tentang berubah kononnya bagus sangat. Apabila Ketua UMNO bahagian Pulai (Datuk Nur Jazlan Mohamed) membuat kenyataan bahawa DAP perlu keluarkan negara sekular dan perlu keluarkan Malaysian Malaysia, dia (DAP) cakap, dia tak nak keluarkan.
“UMNO tak ada kuasa dah sekarang pemimpin UMNO sembang sahaja,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kempas, di sini, pada Sabtu malam.
Hadir sama, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' seperti didesak sesetengah pihak.
Menurut beliau, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.
Malah katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung perlembagaan parti.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, DAP yang sebelum ini memberi gambaran sebagai sebuah parti yang bersih, nyata tidak berintegriti apabila tidak melawan penyelewengan dan menerima Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah.
"Sekiranya benar DAP berintegriti, parti itu akan melawan skandal 1Malaysia Development (1MDB), penyelewengan serta pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid. Sudah tentu DAP tidak akan duduk bersama Ahmad Zahid.
“DAP ini parti 'sembang' seolah-olah mereka sahaja yang bersih. Tetapi hari ini UMNO mendukung DAP dan pemimpin UMNO kata, DAP telah berubah banyak,” tambah beliau.
Justeru, beliau yang juga Ketua Penyelaras Pilihan Raya Parlimen Pulai berkata, para pengundi di Parlimen Pulai perlu menggunakan peluang ini untuk memberikan kemenangan kepada calon PN, sekali gus menghantar isyarat yang jelas kepada PH-BN, seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada 12 Ogos lalu.