PRK Port Dickson: Waktu undian tamat tepat jam 5.30 petang
Arfa Yunus, Diyana Ibrahim
Oktober 13, 2018 17:46 MYT
Oktober 13, 2018 17:46 MYT
Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tamat jam 5:30 petang tadi dengan peratusan undi dijangka tidak mencapai sasaran.
Meskipun PRK kali ini dijangka dapat menarik lebih ramai pengundi dengan penampilan tujuh calon, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) peratusan keluar mengundi hanyalah setakat 54% setakat jam 4 petang.
Peratusan mengundi yang terbaharu setakat jam 5.30 petang, bagaimanapun, masih belum diumumkan pihak SPR.
PRK Port Dickson menampilkan pertandingan tujuh penjuru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan), Tan Sri Isa Samad (Bebas), Saiful Bukhari Azlan (Bebas), Mohd Nazari Mokhtar (PAS), Lau Seck Yan (Bebas), Kan Chee Yuen (Bebas) dan Stevie Chan (Bebas).
Sebelum ini SPR mensasarkan peratusan keluar undi sebanyak 70% dan ini dilihat dapat memberi harapan kepada Anwar untuk mendapat undi majoriti besar.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga menyatakan keyakinan bahawa Anwar boleh menang besar sekiranya peratusan keluar undi tinggi.
Anwar memerlukan undi majoriti besar sebagai mandat untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.
Sementara itu, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun awal hari ini memberitahu pemberita proses pegundian berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Kami jangka pengumuman keputusan boleh dibuat selewat-lewatnya jam 10 malam ini," katanya.
Parlimen Port Dickson mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).
Kerusi Parlimen Port Dickson ini dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, tiga PRK telah diadakan iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Ketiga-tiga PRK tersebut mencatat peratusan keluar undi kurang 60%.
#Anwar Ibrahim
#Bebas
#Isa Samad
#Kan Chee Yuen
#Lau Seck Yan
#Mohd Nazari Mokhtar
#Pakatan Harapan
#PAS
#peratusan undi
#Pilhan Raya Kecil
#Port Dickson
#PRK
#PRK Port Dickson
#Saiful Bukhari Azlan
#SPR
#Stevie Chan
#Suruhanjaya Pilihan Raya