PRK Port Dickson tidak guna aset dan jentera kerajaan - Anwar Ibrahim

Isabelle Leong
September 21, 2018 14:20 MYT
ANWAR: Saya mahu PKR Port Dickson bebas dan bersih daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan. - Astro AWANI
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menggunakan aset dan jentera kerajaan bagi Pilihan Raya Kecil di Parlimen P.132 Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak yang berkempen dan memberi sokongan kepadanya perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan.
"Saya mahu PKR Port Dickson bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan.
"Pihak yang berkempen dan hadir untuk memberikan sokongan kepada saya perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan.
"Saya dimaklumkan Datuk Saifuddin Nasution bahawa terdapat program yang diaturkan oleh kementeriannya di Port Dickson sebulan sebelum ini.
"Namun, beliau menangguhkannya kerana tidak mahu dianggap menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan PRK ini. Saya rasa itu penting. Ia isyarat yang sangat penting supaya kami dapat menghadapi pilihan raya ini melalui proses yang bersih dan bebas," kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat Keadilan pada Jumaat.
Tambahnya, parti PKR akan menjadikan Port Dickson sebagai kubu parti tersebut sehingga PRK tersebut selesai.
Pada sidang media yang sama juga, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi mengumumkan Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Parlimen Port Dickson.
Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
#Anwar Ibrahim #aset #Bersih #jentera #kerajaan #Parti Keadilan Rakyat #pilihan raya kecil #PKR #Port Dickson #PRK #Wan Azizah Wan Ismail
;