PRK Port Dickson: Saya dah menang lima undi - Mohd Isa
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 13, 2018 12:54 MYT
Oktober 13, 2018 12:54 MYT
Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, hari ini menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi.
Beliau tiba di sekolah berkenaan sekitar jam 11.15 pagi dengan ditemani empat orang anaknya, Mohd Najib, 40 tahun, Megawati, 37 tahun, Lelawati, 32 tahun, dan Juhaida, 29 tahun, yang turut membuang undi di Parlimen Port Dickson hari ini.
Mohd Najib mengundi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Cahaya Ikhsan Linggi, Megawati dan Juhaida masing-masing di SK Kampung Baru manakala Lelawati di SK Port Dickson.
Sementara itu, Mohd Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, beliau yakin faktor status beliau yang merupakan anak jati tempatan bakal memberi kelebihan kepadanya.
“Rasa seronok apabila dapat undi diri sendiri. Selalunya kita undi orang lain, kali ini undi diri sendiri. Dan saya bernasib baik dapat mengundi di sini.
“InsyaAllah kalau ada rezeki menang, banyak atau sikit bukan ada beza. Setakat ini saya sudah mendahului dengan lima undi,” katanya secara berseloroh kepada pemberita, merujuk kepada undi yang dibuang beliau dan empat anaknya.
SK Linggi antara 32 pusat pengundian yang dibuka di Parlimen Port Dickson bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat dan dilantik sebagai perdana menteri kelapan.
Pada PRU14 yang lalu, Danyal Balagopal yang juga bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
Sementara itu, mengulas peratusan keluar mengundi yang kurang memberangsangkan, Mohd Isa yang ditemui selepas selesai membuang undi berkata, pengundi mungkin letih kerana terlalu banyak pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berharap pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat mengundi tutup tepat jam 5.30 petang ini.
“Kalau boleh, keluarlah mengundi beramai-ramai. Lagi-lagi hujan selalunya sebelah petang.
“Mungkin pengundi sudah letih nak mengundi agaknya. Hanya pemberita sahaja yang seronok,” katanya lagi berseloroh.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat jam 12 tengah hari, seramai 34 peratus pengundi telah keluar mengundi.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Selain Mohd Isa, pertandingan tujuh penjuru dalam PRK ini menyaksikan pertembungan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (Pas) dan empat calon Bebas lain, iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Kee Leong, Kan Chee Yuen dan Lau Seck Yan.
#Anwar Ibrahim
#Bebas
#calon
#Mohd Isa Abdul Samad
#Negeri Sembilan
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#PRK Port Dickson