PRK Port Dickson pada 13 Oktober

Wan Syamsul Amly
September 20, 2018 12:45 MYT
SPR menetapkan penamaan calon buat PRK PD pada 29 September, dengan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari. - BERNAMA/Fail
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini.
Dalam pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, SPR menetapkan penamaan calon buat PRK Port Dickson pada 29 Sept, dengan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari.
"SPR turut menetapkan 9 Oktober bagi hari mengundi awal. Bagi permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka permohonan adalah pada 20 September dan tarikh tutup pada 29 September," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat SPR di sini, hari ini.
Jelasnya, SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus PRK Port Dickson
"SPR juga akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi," ujarnya.
Kata Othman, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK Port Dickson adalah sehingga suku kedua tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Sept.
"Daftar pemilih tersebut mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
"Daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 27 Sept 2018," jelasnya.
Tambahnya, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka di www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-8892-7018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Dalam pada itu, kata Othman, seramai 1,403 petugas dilantik pada PRK kali ini yang menyediakan 39 buah pusat mengundi dan 171 saluran yang dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta.
Jelasnya, SPR turut membuat penambahbaikan pada PRK kali ini iaitu dua saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas.
"Selain itu, tempoh masa pengundian adalah dari jam 8 pagi sehingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini.
"SPR juga menambah saluran mengundi dengan 26 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai menjadikannya 171 saluran berbanding 145 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Penambahan petak undi juga dibuat kepada tiga petak berbanding dua sebelum ini," katanya.
Tambahnya, SPR juga akan mengadakan Kempen Jom Kita Undi melalui pelbagai saluran media selain pemasangan kain rentang di lokasi strategik untuk menarik pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dilakukan pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, sebelum ini untuk membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14 9 Mei lepas, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk V.S. Mogan, dan Mahfuz Roslan dari PAS.
Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.
Bagaimanapun kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.
Pada 16 Mei lalu, Anwar diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, keputusan memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dibuat sendiri oleh Anwar.
Katanya, Anwar memilih Port Dickson selepas tiga ahli Parlimen menulis kepada beliau dan menawarkan kerusi mereka untuk dikosongkan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR itu.
#Anwar Ibrahim #Othman Mahmood #Parlimen #PRK Port Dickson #SPR
;