PRK Port Dickson: Calon bebas tarik diri

Bernama
September 26, 2018 18:44 MYT
Kumar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seorang peguam dan juga mengambil kira MIC tidak meletakkan calon bagi kerusi tradisi itu, dan UMNO juga tidak bertanding. - Facebook/Dato G Kumaar Aamaan
Bekas setiausaha agung MIC Datuk S. Kumar hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Port Dickson.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seorang peguam dan juga mengambil kira MIC tidak meletakkan calon bagi kerusi tradisi itu yang dahulu dikenali sebagai Telok Kemang, dan UMNO juga tidak bertanding.
"Saya telah mengambil inisiatif penuh untuk turun ke peringkat akar umbi di Port Dickson dan seterusnya mendapati bahawa terdapat banyak masalah dan isu dihadapi oleh masyarakat India yang perlu diselesaikan.
"Ini memerlukan jentera yang padu..saya dengan ini meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji perkara ini secara serius," kata beliau dan menambah beliau menawarkan bantuan dalam usaha menyelaraskan mengenai isu-isu tersebut.
BACA: Saingan lima penjuru di Port Dickson?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt sebagai hari mengundii sementara penamaan calon ialah pada Sabtu ini.
Penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.
Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor. -- Bernama
#calon Bebas #Datuk S Kumar #PRK Port Dickson
;