PRK Permatang Pauh perlukan 'wakil rakyat' bukan hanya wakil parti - Yusmadi
Irwan Muhammad Zain
Februari 17, 2015 20:41 MYT
Februari 17, 2015 20:41 MYT
Pakatan Rakyat (PR) dicadangkan supaya mengambil peluang di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh untuk mengembalikan semangat gabungan tersebut yang bermula sejak awal gerakan reformasi.
Pengasas Kumpulan RIGHTS, Yusmadi Yusoff berkata, untuk mencapai tujuan tersebut PR mencari calon yang sebenar-benarnya 'wakil rakyat' bukan wakil parti.
"Calon tersebut tidak semestinya dari PKR atau mana-mana parti dalam PR tetapi mana-mana calon yang diangkat oleh rakyat.
"Calon-calon yang dipilih rakyat itu mungkin tidak mewakili mana-mana parti seperti Fahmi Zainol, Adam Adli, Mejar Zaidi, Sidiq Fadhil atau mungkin dari kalangan sasterawan seperti Pak Samad atau Pyanhabib.
"Mereka yang saya sebutkan itu dilihat mewakili suara perubahan rakyat," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh mempunyai beban moral politik yang tinggi bagi menjawab persoalan yang lebih penting mengenai masa depan politik Pakatan Rakyat.
"Kerana pilihan raya kecil ini diadakan selepas isu kematian Karpal Singh dan Tok Guru Nik Aziz serta kes Anwar Ibrahim itu sendiri.
"Bagi saya, Pakatan Rakyat itu jiwanya pada gambaran muafakat ketiga-tiga pemimpin itu bukan semata-mata pada dasar bersama parti dalam gabungan tersebut," katanya lagi.
Yusmadi menjelaskan gambaran muafakat ketiga-tiga pemimpin yang mewakili parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu meyakinkan masyarakat bahawa ia alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh hanya akan diadakan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.