PRK Permatang Pauh: PAS Pulau Pinang janji sokongan penuh kepada PKR
Astro Awani
April 15, 2015 10:29 MYT
April 15, 2015 10:29 MYT
PAS Pulau Pinang berjanji akan memberi sokongan penuh kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Pesuruhjayanya Datuk Dr Mujahid Rawa mengulangi komitmen PAS bagi memastikan kerusi parlimen itu kekal milik PKR.
“Saya datang untuk bagi sokongan 100 peratus, untuk pastikan siapa saja calon yang ditetapkan. Mat Sabu adalah pengarah di peringkat nasional dan saya di Pulau Pinang akan menggerakkan semua jentera di negeri untuk memastikan kemenangan di sini.”
Mujahid berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya PKR di Guar Perahu di Pulau Pinang pada Selasa. Majlis itu dihadiri semua pimpinan tertinggi PKR dan DAP.
Pemimpin kanan PAS pusat bagaimanapun tidak hadir.
Pada majlis itu, ahli parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Osman diumumkan sebagai pengarah pilihanraya kecil Permatang Pauh PKR.
Demi Rakyat -Bantah GST Tegakkan Keadilan pula dipilih sebagai slogan Pakatan Rakyat sepanjang kempen nanti.
Proses penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 25 April manakala hari pengundian ditetapkan pada 7 Mei depan.