PRK Permatang Pauh : BN Pulau Pinang akan pertaruh muka baru
Mariah Ahmad
April 1, 2015 20:17 MYT
April 1, 2015 20:17 MYT
UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh nanti.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihak mereka akan mempertingkatkan persiapan bagi menghadapi PRK Permatang Pauh berikutan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen hari ini.
"Setelah berbincang dengan UMNO Permatang Pauh, kami telah mengenal pasti beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon di PRK Permatang Pauh untuk pertimbangan pucuk pimpinan Barisan Nasional.
"Buat masa ini, nama-nama tersebut belum diminta untuk dikemukakan secara rasmi.
"Calon-calon yang disenarai pendek adalah anak-anak Permatang Pauh dan tinggal di kawasan Permatang Pauh. Mereka berkelayakan dari segi akademik dan adalah muka-muka baru yang sering berdamping dengan masyarakat setempat," tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.
"Kita sedar pertembungan di Permatang Pauh adalah suatu uphill battle memandangkan Permatang Pauh adalah kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kedudukan UMNO dan BN boleh dianggap sebagai underdog.
"Namun begitu kita bersedia untuk memberikan tentangan yang hebat. Kita yakin dan percaya pengundi-pengundi di Permatang Pauh akan membuat pilihan yang terbaik dan melakukan suatu perubahan setelah 17 tahun diwakili ahli parlimen daripada PKR," ujar beliau.
Zainal juga berkata pihak mereka telah memulakan persiapan PRK sejak Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Anwar bersalah.
Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohonnya.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata surat memaklumkan keputusan petisyen pengampunan diraja itu diterima hari ini.
Beliau memaklumkan petisyen pengampunan bagi Anwar diputuskan dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar atas kesalahan liwat hendaklah diteruskan.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat Rabu depan untuk menetapkan tarikh PRK itu akan diadakan.