PRK Pelangai: 'Tak undi BN, jangan suruh anak balik' hanya seloroh - Wan Rosdy
Sinar Harian
September 28, 2023 14:45 MYT
September 28, 2023 14:45 MYT
BENTONG: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau hanya berseloroh apabila meminta perantau supaya tidak pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai jika tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN).
Beliau sebaliknya menegaskan apa yang dimaksudkan adalah mahu anak-anak rantau pulang dan memberi sokongan kepada BN yang lebih mampu memberi pembangunan di kawasan itu.
"Yang itu seloroh saja. Maknanya kita harap mereka balik dan menyokong kita. Tapi kalau tak mengundi (BN) tu tak perlu balik tu seloroh saja.
"Sebab ada yang mengantuk tadi (ketika berucap) jadi saya selorohlah sikit," katanya ditemui pemberita selepas program 'Sembang Santai' bersama penyokong BN di Felda Chemomoi, di sini pada Rabu.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Naib Presiden UMNO itu memberitahu penyokong BN di DUN Pelangai supaya menasihatkan anak-anak mereka yang tidak menetap di kawasan itu supaya tidak balik mengundi jika tidak memberi undi kepada BN.
Beliau menekankan, lebih baik pengundi yang menetap di Pelangai sendiri memilih wakil rakyat mereka.
"Anak-anak kita yang berada di luar kalau dia tak bersama dengan kita tidak payah suruh balik. Biar duduk di Kuala Lumpur je. Mengacau je. Biar kita je yang menguruskan kampung halaman kita," katanya.
Ditanya adakah timbul sebarang kegusaran mengenai sokongan pengundi luar, beliau bagaimanapun menolak sangkaan tersebut.
PRK DUN Pelangai perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam manakala Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62.
Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding. -Sinar Harian