PRK Pelangai: Ratusan penyokong BN, PN buat 'flash mob', sambut kepulangan pengundi luar
Hasimi Muhamad
Oktober 6, 2023 18:57 MYT
Oktober 6, 2023 18:57 MYT
BENTONG: Jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari menggunakan baki masa terakhir untuk meraih undi dengan menyambut kepulangan perantau melalui penganjuran ‘flash mob’ atau persembahan kilat berkumpulan.
Inisiatif kreatif secara aman itu disertai lebih ratusan penyokong yang berkumpul di sepanjang laluan masuk di sekitar Simpang Pelangai, di sini.
Masing-masing memegang pelekat tertera ‘Hon Tanda Setuju’ bagi jentera BN, dan ‘Hon Untuk Perikatan Nasional’ bagi jentera PN, sekali gus menggamatkan suasana di kawasan berkenaan.
Menurut wakil ‘flash mob’ jentera BN, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd Ridzuan Kamarudin, pendekatan tersebut dilakukan untuk meraikan kepulangan pengundi-pengundi luar khususnya anak muda.
“Selama 14 hari kita duduk di sini, kami lihat Allahyarham Datuk Seri Johari Harun begitu dekat dengan anak muda.
“Jadi kita percaya, bahawa anak muda di Pelangai ini akan terus menyokong kepimpinan BN,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Sekitar 100 meter dari lokasi jentera BN, PN juga melakukan perkara sama dalam usaha melahirkan ‘mood’ dan semangat menjelang hari pengundian esok.
“Selain itu, acara ini adalah untuk menyatakan selamat pulang kepada pengundi-pengundi luar.
“Pada petang ini kita jangkakan ia disertai sekitar 200 orang dan ini rangkaian semua Unit Daerah Mengundi (UDM) dan kami mungkin akan melakukan konvoi untuk memeriahkan suasana (hari mengundi),” jelas wakil ‘flash mob’ PN, Dr Abdullah Abdul Ghani.
Dianggarkan 2,000 pengundi Pelangai bekerja di luar kawasan khususnya di Kuala Lumpur.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam; calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Johari, 53, yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari pengundian PRK DUN Pelangai, bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan sembilan pusat mengundi melibatkan 30 saluran.