PRK Pelangai: Proses pengundian berakhir, pengiraan bermula
Hasimi Muhamad
Oktober 7, 2023 18:02 MYT
Oktober 7, 2023 18:02 MYT
BENTONG: Kesemua sembilan Pusat Mengundi melibatkan 30 saluran ditutup secara rasmi tepat pukul 6 petang tadi, sekali gus menyaksikan tempoh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah berakhir.
Seramai 16,383 pengundi terlibat dalam pengundian hari ini, manakala 36 adalah anggota polis dan tiga lagi pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan setakat pukul 4 petang tadi, peratusan keluar mengundi bagi DUN Pelangai ialah 69 peratus.
SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat; dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Sebaik sahaja proses pengundian berakhir pukul 6 petang ini, proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan bagi PRK dijangka diumum seawal pukul 9 malam.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) serta calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).