PRK Pelangai: 'Kita kempen ikut seperti digariskan' - Calon PN
Sinar Harian
September 27, 2023 12:34 MYT
September 27, 2023 12:34 MYT
BENTONG: Keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tidak menjejaskan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Calon PN, Kasim Samat berkata, beliau yakin perjalanan kempen ketika ini mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita memang tak buat benda-benda macam tu (rasuah), jadi tak ada terkesanlah (sokongan pengundi).
"Kita berkempen ikut seperti yang digariskan... terutamanya peraturan-peraturan terbaharu dalam Pilihan Raya di enam negeri sebelum ini," katanya ditemui di Pasar Sehari Felda Chemomoi di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis membuat keputusan membatalkan kemenangan Che Alias selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Menurut peguam, Amin Othman yang mewakili Wan Mohamad Hisham selaku pempetisyen, hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen berkenaan.
Mengulas lanjut, Kasim berkata, peraturan pilihan raya yang digariskan adalah jelas dan berharap petisyen seumpama itu tidak berlaku bagi PRK DUN Pelangai.
"Saya pun bersama wakil calon, dan calon satu lagi hadir taklimat.
"Insya-Allah harap-harap tak berlakulah petisyen seperti di Kuala Terengganu dan terbaharu di Kemaman," katanya.
Dalam pada itu, beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Kasim berkata, PN konsisten menyasarkan 65 peratus keluar mengundi pada 7 Oktober nanti.
"Kita ada 2,000 pengundi luar... kita dah hubungi melalui telefon dan sosial media dan menerima respons baik. Insya-Allah mereka balik mengundi," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian