PRK Pelangai: Kemenangan BN jamin pembangunan diteruskan - Ismail Sabri
Bernama
September 27, 2023 14:39 MYT
September 27, 2023 14:39 MYT
BENTONG: Barisan Nasional (BN) dapat terus menjamin pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Okt ini, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata calon BN Datuk Amizar Abu Adam boleh menjadi ' jambatan' antara penduduk dan Kerajaan negeri Pahang dalam membawa pembangunan di DUN Pelangai.
"Kalau (calon daripada) parti bukan daripada BN, mereka akan jadi pembangkang. Saya rasa susah nak bawa pembangunan di sini, tetapi kalau calon kita menang, kerajaan Pahang ini adalah di bawah BN.
"Kita (BN) boleh kerja terus untuk membantu rakyat di sini. Kalau pembangkang yang menang dia tak mampu buat," katanya kepada pemberita ketika mengiringi Amizar berkempen di Felda Chemomoi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau yakin Amizar, seorang anak jati Felda Chemomoi diterima rakyat kerana sikap rendah dirinya.
"Sewaktu saya berjalan dengan dia (Amizar), nampaknya hampir semua orang yang kami jumpa kenal dia. Mereka kata Amizar ini seorang yang baik dan rendah diri, itu yang penting," katanya yang telah dua hari turun padang bersama Amizar menyantuni masyarakat di sini.
Amizar, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli pada PRK DUN Pelangai.
-- BERNAMA