PRK Pelangai: Bakal calon disarankan isi borang, buat semakan awal - SPR
Bernama
September 20, 2023 18:52 MYT
September 20, 2023 18:52 MYT
BENTONG: Semua bakal calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai disarankan agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mereka juga disarankan supaya membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.
"Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas penamaan calon hendaklah diserahkan bermula 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pada 23 Sept.
Menurutnya, setiap bakal calon hanya dibenarkan untuk diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong untuk memasuki pusat penamaan calon.
Ikmalrudin juga menyeru bakal calon dan parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata pada hari penamaan calon, penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Katanya, orang awam dan penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.
Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga diingatkan bahawa mereka tertakluk kepada undang-undang kecil PBT bagi mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang, simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen yang diwakilinya.
PRK Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini, susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
SPR menetapkan hari penamaan calon pada 23 Sept ini, manakala 3 Okt ditetapkan sebagai tarikh pengundian awal.
-- BERNAMA