PRK PD: Tabung khas saya bukan untuk beli undi, namun ... - Saiful Bukhari

Arfa Yunus
Oktober 2, 2018 18:12 MYT
"Dari segi funding (dana), saya akui dalam PRK ini memang memerlukan wang. Bukan untuk beli undi tetapi untuk perkara-perkara asas seperti mencetak poster, bendera dan sebagainya. - fotoBERNAMA
Satu tabung khas untuk mengumpul dana bagi membiayai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bagi calon bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah dilancarkan.
Katanya, disebabkan tidak menerima pembiayaan atau bantuan daripada mana-mana parti politik, beliau membuat keputusan untuk memulakan kempen meraih dana ini.
"Dari segi funding (dana), saya akui dalam PRK ini memang memerlukan wang. Bukan untuk beli undi tetapi untuk perkara-perkara asas seperti mencetak poster, bendera dan sebagainya.
"Jadi, satu tabung khas akan diwujudkan serta merta untuk saya bergerak hingga hari mengundi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, Saiful berkata beliau tidak menyediakan sebarang manifesto bagi kempennya.
"Saya tak buat manifesto tapi saya beri jaminan kepada pengundi, sekiranya saya diberi mandat, saya tidak akan khianati mandat itu.
"Saya tidak akan meletak jawatan sesuka hati tanpa sebab," tambahnya.
Selepas menghantar borang pencalonan pada Sabtu lalu, Saiful menyepi dan tidak membuat sebarang pengumuman.
Hari ini beliau akhirnya muncul dan membuat beberapa penjelasan mengenai pencalonannya yang dibuat pada saat akhir.
Katanya, sehingga sehari sebelum hari penamaan, beliau masih belum ada pencadang dan penyokong.
"Sehingga jam 6 petang sebelum hari penamaan calon, saya masih tidak ada pencadang atau penyokong dan akhirnya pada 10.30 malam ada dua pengundi Port Dickson yang sudi menjadi pencadang saya." tambahnya.
#Anwar Ibrahim #borang pencalonan #dana #Mohd Saiful Bukhari Azlan #PRK Port Dickson
;