PRK PD: Saya gembira UMNO, BN tidak bertanding - Anwar
Firdaus Azil
September 25, 2018 12:52 MYT
September 25, 2018 12:52 MYT
Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding di kerusi itu.
Beliau, yang juga bakal Presiden PKR berkata, walaupun sepatutnya ada pertandingan, namun beliau tidak menyembunyikan kegembiraan atas perkembangan itu.
“Saya sambut baik siapa tak bertanding. I welcome contest but I'm happier if there's no contest, if UMNO not contesting. But of course I still have to face the independent candidate,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi Syarahan Negarawan 2018, bertajuk “Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa”, di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.
Semalam Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding kerana mereka merasakan kekosongan kerusi itu tidak menghormati prinsip demokrasi.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau turut menyambut baik kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersedia berbincang dan mempertimbangkan untuk mengendalikan Pemilihan Keadilan 2018 sekiranya ada permohonan dari parti itu.
Kenyataan itu hadir berikutan berlaku kekecohan di beberapa tempat pemilihan di Pulau Pinang dan Kedah, sehingga mengakibatkan keputusan digantung sementara waktu.
“Cadangan itu mungkin boleh dipertimbangkan tapi tak semudah itu kerana proses (pemilihan) dah jalan, Bersih memang pemantau yang berkesan, tapi tak mudah kerana proses itu tak boleh lewat dari arahan yang diberi RoS (Pendaftar Pertubuhan),” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Anwar turut menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai perbuatan menawarkan projek untuk meraih undi sempena Pemilihan PKR, hanyalah sebagai peringatan dan amaran semata-mata.
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasional
#Pakatan Harapan
#Pertubuhan Kerajaan
#PKR
#Port Dickson
#PRK
#ros
#UMNO
#Zahid Hamidi