PRK PD: Penting untuk semua pemimpin utama PH berada dalam kerajaan - Amanah

Astro Awani
September 15, 2018 22:35 MYT
Mohamad berkata dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana individu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan. - Gambar fail
Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di parlimen Port Dickson sebagai langkah membolehkan para pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) berada bersama dalam kerajaan, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
"Amanah melihat betapa pentingnya pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan untuk berada bersama dalam kerajaan agar reformasi sistem seperti yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
"Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi membolehkan beliau menjadi ahli parlimen adalah satu langkah ke arah mencapai hasrat yang dijanjikan itu," kata Mohamad yang juga menteri pertahanan dalam suatu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja berkata Anwar berhak bertanding dan Amanah menyokong pengumuman pemimpin tertinggi PKR itu.
"Dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana individu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan," katanya lagi.
Kerusi parlimen Port Dikcson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding seterusnya menjadi ahli parlimen.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi parlimen Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional dan Pas.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #Gagasan Sejahtera #Mahathir Mohamad #Malaysia #Mohamad Sabu #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya kecil #PKR #Port Dickson #PRK #PRK Port Dickson #UMNO
;