PRK Parlimen Permatang Pauh: 7 Mei hari mengundi, 25 April penamaan calon

Hafiz Marzukhi
April 8, 2015 05:31 MYT
ABDUL AZIZ: SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat pada 1 April lalu berhubung kekosongan kerusi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.044 Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 25 April ini sementara pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei ini.
Pengumuman ketiga-tiga tarikh itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK Parlimen P.044 Permatang Pauh, sebentar tadi.
Pada 1 April lalu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan kerusi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh.
Ini berikutan penyandangnya Ahli Dewan Rakyat, Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka dan bagi mengisi kekosongan kerusi P.044 Permatang Pauh itu.
Sementara itu, bagi PRK Rompin pula, Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan bahawa ia mungkin akan berjalan serentak dengan PRK Permatang Pauh.
"Namun, perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat khas nanti," tambah Abdul Aziz.
Kerusi Parlimen Rompin kosong selepas penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis meninggal dunia kerana terlibat dalam nahas helikopter di Semenyih minggu lepas.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRK Permatang Pauh : BN Pulau Pinang akan pertaruh muka baru
Wan Azizah paling layak bertanding PRK Permatang Pauh - Rafizi
UMNO bahagian Permatang Pauh cadang tiga nama calon PRK
Permatang Pauh perlukan 'wakil rakyat' bukan hanya wakil parti - Yusmadi
#Anwar Ibrahim #Parlimen #Permatang Pauh #PRK #SPR