PRK P.Pauh: PKR 'ding dong' bila lambat umum calon - Dr Mohd Puad
Wan Syamsul Amly
April 25, 2015 17:27 MYT
April 25, 2015 17:27 MYT
Kelewatan PKR mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh membuktikan parti itu mempunyai masalah dalaman dan cuba bersikap defensif kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pengekalan Dr Wan Azizah lebih dilihat usaha mengekalkan legasi keluarga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada perjuangan kepada pengundi di kawasan itu.
"Mereka kini banyak isu, ia banyak memudahkan kempen Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh. Paling jelas mereka defensif untuk mengumumkan nama calon semalam, mereka seolah-olah masih tidak pasti atau 'ding dong' sehingga ke saat akhir siapa yang hendak jadi calon di sana.
"Mengekalkan Wan Azizah akan mengurangkan sokongan pengundi. Penduduk di sana juga sudah bosan dengan legasi politik keluarga Anwar," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Pengumuman calon PKR di Permatang Pauh hanya dibuat selepas pukul 11 malam pada Jumaat.
Selain Dr Wan Azizah, PRK Permatang Pauh turut melihat tiga lagi calon iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.
Dalam pada itu kata Dr Mohd Puad, Dr Wan Azizah seharusnya sedar kesilapannya melepaskan amanah yang pernah diberi pengundi di Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.
"Sekarang orang sudah tidak simpati lagi, orang sudah muak apabila Dr Wan Azizah bertanding di Kajang kerana menggantikan suaminya dan kini mengulang cerita sama di Permatang Pauh," jelasnya.
Ujarnya JASA kali ini akan menggunakan dua pendekatan dalam meraih sokongan pengundi kepada BN.
"Kita akan melipatgandakan usaha di media sosial selain mendekati pengundi secara peribadi termasuk mereka yang berada di atas pagar.
"Pembangkang ada banyak isu, ia membantu kerja kempen di pihak BN. Kuta akan gunakan sepenuhnya media sosial dalam isu ini.
"BN memberi pakej calon terbaik dan tidak bermain dengan emosi serta persepsi dalam berkempen," ujarnya.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkannya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Parlimen ini dianggap sebagai kubu kuat PKR apabila menguasai kerusi itu sejak tahun 1982.
Anwar menduduki kerusi itu pada tahun 1982, 1986, 1990 dan 1995 sebelum dihukum penjara enam tahun pada 1999 setelah didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah kerana menyalah guna kuasa.
Dr Wan Azizah kemudian menjadi anggota Parlimen di situ pada 1999 hingga 2008 sebelum bertindak mengosongkannya bagi memberi laluan kepada Anwar selepas beliau dibebaskan pada tahun 2004.