PRK P.Pauh: Pengundi India tidak pernah lupa pengkhianatan Anwar - Periasamy
Wan Syamsul Amly
Mei 5, 2015 07:18 MYT
Mei 5, 2015 07:18 MYT
Pengundi India di Permatang Pauh menyifatkan populariti legasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin merudum selepas beberapa janji palsu dan pengkhianatan yang dibuat Ketua Umum PKR itu sepanjang menjadi wakil rakyat.
Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), M.Periasamy berkata, kerana itu calon PKR yang merupakan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa pilihan raya kecil (PRK) dilihat hanya mengulang situasi sama dan terus mengkhianati janji jika menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
"Apa yang dibuat Anwar sepanjang berkuasa di Permatang Pauh kepada kaum India? Apakah pengundi India mudah lupa isu yang berbangkit kononya Anwar memberi amaran bahawa dia akan menutup semua kuil Hindu di Malaysia sekiranya kuil-kuil terus melocengkan loceng kuil dengan bunyi kuat semasa peristiwa Kampong Rawa?
"Apakah pengundi India mudah lupa janji Anwar untuk menyelamatkan Kampung Buah Pala sebagai Kampung tradisi kaum India sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Kerajaan Negeri dan rakannya Lim Guan Eng dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya umum (PRU) ke-12?
"Kampung Buah Pala yang menjadi lambang tradisi dan budaya masayarakat India terus hilang dalam peta Pulau Pinang apabila Guan Eng menguasai kerajaan negeri sekali gus membuktikan janji Anwar tidak ditepati selain banyak lagi isu yang mengecewakan masyarakat India," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Tegasnya, pengundi India juga dilihat akan memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin pada Khamis ini.
"Tinjaun awal jelas menunjukkan suasana pemikiran politik kini amat berbeza dengan suasana PRU atau PRK terdahulu. Sebahagian besar pengundi di sini secara amnya dan pengundi India secara khususnya yang memihak PKR kini menzahirkan perasaan kecewa malah tidak puas hati terhadap pemilihan Dr Wan Azizah sebagai calon PKR.
"Pengundi India memberitahu mereka tidak puas hati terhadap Dr Wan Azizah kerana dia pernah dipilih sebagai wakil rakyat pada tahun 1999, 2004 dan 2008 dan tidak menepati janji membela kepentingan mereka malah tertinggal mereka dalam separuh perjalanan untuk memberi laluan kepada Anwar dengan alasan ingin menghabiskan lebih masa untuk menjaga cucu-cucunya.
"Pengundi India juga terkejut apabila Dr Wan Azizah dicalonkan semula kerana dia telah pun dipilih sebagai wakil Dewan Undang Negeri (DUN) Kajang. Dia juga tidak banyak membantu masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat India malah lebih sibuk menghabiskan masa di Kuala Lumpur untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh Anwar sendiri," jelasnya.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menetapkan sasaran dan jenteranya telah digerak untuk mencapai sasaran 63 peratus sokongan pengundi Melayu, 55 peratus sokongan pengundi India dan hampir 20 peratus sokongan pengundi Cina di Permatang Pauh.
"Pada keseluruhannya , pengundi Permatang Pauh yang sudah biasa mengundi PKR dalam pilihan raya-pilihan raya umum sejak tahun 1999 kerana terpengaruh dengan kewibawaan Anwar dijangka mengubah pemikiran politik mereka kali ini selaras dengan perkembangan politik semasa.
"Malah pengundi DUN Permatang Pasir yang dikuasai oleh PAS dijangka akan memilih seorang calon baru dan muda daripada BN agar menimbulkan kejutan dalam keputusan PRK kali ini.
"Pengundi muda yang umumnya dahagakan perubahan dan suka membuat sesuatu yang luar biasa dijangka melakukan sesuatu yang luar biasa iaitu keluar daripada politik ketaksuban dan memilih seorang calon untuk mewakili bukan sahaja golongan muda malah merupakan anak tempatan sendiri," ujarnya.
Selain Suhaimi dan Dr Wan Azizah, dua lagi calon adalah calon bebas Salleh Isahak dan Azman Shah (Parti Rakyat Malaysia).
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jasa, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kelewatan PKR mengumumkan calon PRK Permatang Pauh membuktikan parti itu mempunyai masalah dalaman dan cuba bersikap defensif kepada Wan Azizah.
Kata Dr Mohd Puad, pengekalan Presiden PKR itu lebih dilihat usaha mengekalkan legasi keluarga Anwar daripada perjuangan kepada pengundi di kawasan itu.